http://nrc.sasbadi.com/news.php



PUTRAJAYA, 13 Nov. – Kontinjen Malaysia yang menyertai kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2009 di Pohang, Korea Selatan dari 6 hingga 8 November lalu disambut meriah di sini berikutan kejayaan cemerlang muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan robotik dunia berkenaan. Kejayaan ini merupakan suatu peningkatan kerana pada kejohanan WRO 2008 di Yokohama, Jepun, kontijen negara menduduki tempat kedua secara keseluruhan.
Di Pohang, Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada dua pasukan sekolah rendah serta empat pasukan sekolah menengah bertanding dalam dua kategori yang terbahagi kepada enam acara, termasuk acara Kategori Terbuka yang bertemakan Artist Robot. Kontinjen seramai 18 orang murid dan enam orang guru atau mentor ini diiringi oleh seorang pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia dan diketuai oleh Dato' Hj. Zulkifly Mohd Wazir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Kejohanan WRO 2009 ini turut disertai 217 pasukan dari 24 buah negara seluruh dunia.
Menurut Dato' Hj. Zulkifly Mohd Wazir, Kontinjen Malaysia berjaya meraih dua pingat emas, dua Anugerah Istimewa (Special Award), dan satu Anugerah Kecemerlangan (Excellent Award) yang kesemuanya diperoleh melalui acara Kategori Terbuka.
"Dalam acara Kategori Terbuka bagi peringkat Sekolah Rendah, Kontinjen Malaysia yang diwakili SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur bukan saja meraih pingat emas tetapi juga meraih Anugerah Istimewa atas persembahan yang mengagumkan. Pasukan ini diwakili oleh Cikgu Chong Chee Boon sebagai mentor dan tiga orang murid, iaitu Benjamin Phang Shin Yoong, John Leong Jia Jun, dan Tan Cheng En." "Persembahan yang cukup memberangsangkan oleh pasukan SMK Methodist Tanjung Malim, Perak turut membolehkannya meraih pingat emas serta Anugerah Istimewa dalam acara Kategori Terbuka bagi peringkat Menengah Atas. Pasukan ini diwakili oleh Cikgu Lau Yoke Yin dan tiga orang murid, iaitu Michael Goh Joon Seng, Wong Shun Yi, dan Nur Hazirah binti Mohd. Razali."
Sementara itu, pasukan SMK St. Francis, Melaka yang diwakili Cikgu Tay Siew Lai dan tiga orang murid, iaitu Tan Ee Jun Johnston, Lee Kin Onn, dan Teng Wai Huang pun tiga kurang hebat persembahannya dan diberi pengiktirafan melalui Anugerah Kecemerlangan.
"Yang lebih signifikan ialah kemenangan dalam acara Kategori Terbuka bagi peringkat Menengah Atas ini adalah untuk tahun yang ketiga berturut-turut. Rasa saya, pencapaian ini dengan sendirinya merupakan suatu rekod yang sukar disaingi dan diatasi oleh mana-mana pasukan pada masa akan datang," tambah Encik Law King Hui, Pengarah Urusan Sasbadi Sdn Bhd, syarikat yang menganjurkan Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotics Competition (NRC) sejak 2005 bersama-sama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Sains Negara (MOSTI) di bawah suatu program perkongsian pintar (smart partnership) antara pihak kerajaan dengan pihak swasta.
"Untuk makluman, acara Kategori Terbuka merupakan yang paling mencabar dipertandingkan kerana menghendaki para peserta sepasukan supaya membuat kajian awal, menyediakan proposal, dan kemudian membentangkannya sebelum menunjukkan persembahan projek robotik yang diciptakan," kata Encik Law yang kelihatan amat bangga dan berpuas hati atas pencapaian para peserta berkenaan. Sebagai persiapan ke kejohanan WRO 2009, latihan pusat yang intensif dikendalikan oleh para jurulatih bertauliah yang berpengalaman daripada Sasbadi Sdn. Bhd. di ibu pejabat syarikat berkenaan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Sementara itu, menurut Dato' Hj. Zulkifly lagi, pencapaian hebat dalam acara Kategori Terbuka itu telah menarik minat pegawai-pegawai pasukan negara lain untuk belajar daripada Malaysia dalam usaha meningkatkan persembahan robotik pasukan negara mereka. Untuk tujuan itu, para pegawai daripada beberapa kontinjen telah menyuarakan hasrat untuk menghantar rombongan melawat sambil belajar ke Malaysia.
http://nrc.sasbadi.com/news.php
|